Headlines
 
Kerajaan negeri akan adaptasi program CSR SAINS yang relevan dengan dasar ‘Go Rural’ di Sarawak
(Utusan Borneo; 11 Nov, 2016)

KUCHING: Kerajaan negeri akan mengadaptasi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Sarawak Information Systems Sdn Bhd (SAINS) yang relevan dengan dasar ‘Go Rural’ (ke luar bandar) dilaksanakan di Sarawak.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berkata antara program CSR itu ialah Usahawan Teknologi Di Rumah Bimbingan ICT Luar Bandar (RIGHT), Memupuk Kemajuan Penjagaan Kesihatan untuk Ekosistem Pertumbuhan (CHANGE) dan Maklumat Bersepadu Kualiti Saksama Menerusi Pembelajaran Di Dalam Kotak untuk Kawasan Luar Bandar (EQUALiBRA atau Perpustakaan Di Dalam Kotak).

Katanya, ia antara usaha serta komitmen beliau untuk merapatkan jurang digital serta membawa pemodenan ke kawasan luar bandar dan ia suatu yang mesti diberikan penekanan.

“Baru-baru ini saya memulakan dasar ‘Go Rural’ dan menetapkan KPI untuk YB-YB (wakil rakyat Barisan Nasional) mengukur penglibatan mereka di konstituensi masing-masing.

“Saya dapat melihat kerelevanan banyak program CSR SAINS yang boleh diadaptasi untuk tujuan ini,” katanya dalam teks ucapan beliau yang dibaca Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-25 SAINS di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini malam kelmarin.

Justeru, beliau berharap SAINS akan menjalinkan kerjasama erat dengan kerajaan negeri untuk menerokai cara mengoptimumkan bidang-bidang yang boleh dibangunkan bersama.

Adenan berkata, semenjak ditubuhkan 25 tahun lalu, SAINS banyak membantu kerajaan negeri meningkatkan mutu sistem penyampaian perkhidmatan awamnya.

Beliau berkata, pelancaran ‘Inforcast Kenyalang (IK)’ atau ‘I Care About Sarawak’ pada Oktober 2014 oleh SAINS telah mendekatkan rakyat terutamanya di luar bandar dengan berita-berita terkini dan menarik.

Usaha ini banyak membantu komuniti luar bandar memahami agenda pembangunan sebenar kerajaan Sarawak berbanding berita remeh-temeh diuar-uarkan pembangkang, tambahnya.

“Sekarang kita telah memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) dengan peningkatan majoriti besar, adalah sangat penting untuk kita menunaikan janji-janji dan kita berusaha melakukannya sekarang.

“Kita perlu maklum, pencapaian kita diperhati dengan dekat tidak hanya oleh pembangkang tetapi rakyat,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Adenan berkata Sarawak berbangga dengan kejayaan SAINS menembusi pasaran teknolofgi maklumat dan komunikasi (ICT) antarabangsa seperti di beberapa buah negara iaitu New Zealand, Australia, Papua New Guinea, Filipina, Brunei, Myanmar, China, Qatar dan Guinea.

Pada majlis itu Anugerah Media ICT Ketua Menteri turut diberikan kepada pemenang bagi tiga kategori dipertandingkan iaitu bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan bahasa Cina yang menawarkan hadiah RM2,000 untuk pemenang tempat pertama, RM1,000 bagi pemenang tempat kedua dan ketiga RM500 berserta sijil.

Hadir sama Pengerusi SAINS Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan dan Ketua Pegawai Eksekutif SAINS Dato Teo Tien Hiong.

BARISAN PEMENANG: Uggah (lima kanan) mewakili Ketua Menteri merakam kenangan bersama pemenang Anugerah Media ICT Ketua Menteri, malam kelmarin. Turut kelihatan Dr Chan (enam kanan) dan Teo (tujuh kanan).

Gallery


Back to top
  Other Headlines