Headlines
 
Sistem e-Syariah tingkatkan perkhidmatan Mahkamah Syariah
(BERNAMA; 24 Jan, 2017)

(Pelita Brunei)

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 24 Januari.- Sistem e-Syariah merupakan salah satu usaha untuk mempertingkatkan urusan pentadbiran mahkamah-mahkamah syari'ah dari semasa ke semasa ke arah teknologi info komunikasi bagi meningkatkan mutu perkhidmatan, produktiviti dan kecekapan pengurusan Mahkamah Syariah.

Perkara tersebut dijelaskan oleh Ketua Pendaftar Mahkamah-Mahkamah Syariah, Awang Haji Hassan bin Haji Metali ketika ditemu bual oleh Pelita Brunei di Bangunan Mahkamah Besar Brunei dan Mahkamah-Mahkamah Syariah, Bandar Seri Begawan, di sini.

Sistem tersebut mengandungi dua modul utama dan dua proses tambahan yang mana modul pertama ialah Sistem Pengurusan atau lebih dikenali sebagai Case Management System (CMS) yang digunakan untuk memproses pendaftaran kes-kes mal dan jenayah, pengeluaran resit bayaran dan kutipan, penjadualan dan pengagihan kes, merekodkan status dan keputusan kes, terang nya lagi.

Modul kedua pula, jelas beliau lagi, ialah Munakahat yang berfungsi untuk permohonan kebenaran berkahwin didalam dan luar negeri, pemeriksaan daftar dan indeks serta permohonan pendaftaran perkahwinan, perceraian, pembatalan dan rujuk orang Islam.

Tambahnya lagi, Portal e-Syariah merupakan modul tambahan yang memberikan kemudahan kepada orang ramai untuk mendapatkan maklumat mengenai perkhidmatan yang disediakan oleh mahkamah syariah dan tatacara permohonan, melakukan pra pendaftaran keatas perkhidmatan yang disediakan oleh Mahkamah-Mahkamah Syariah bagi ahli yang berdaftar serta permohonan dalam talian penerimaan masuk dan sijil amalan peguam syarie.

"Manakala modul tambahan yang kedua ialah Kad Nikah yang mana permohonan dan pendaftaran kad nikah akan dilaksanakan dengan proses baru dibawah sistem munakahat selaras dengan kehendak Akta Undang-Undang Keluarga Islam Penggal 217 dalam pendaftaran perkahwinan, proses tersebut teraplikasi bagi perkahwinan di negara ini setelah berkuatkuasanya Akta Undang-Undang Keluarga Islam Penggal 217," terang nya lagi.

Objektif Sistem e-Syariah tersebut adalah selaras dengan Misi Mahkamah Syariah iaitu 'Untuk melaksanakan pengadilan, pengurusan mahkamah dan hal ehwal perkahwinan secara profesional, adil, berkesan dan sistematik berasaskan undang-undang dan hukum syarak'.

Sistem e-Syariah berkenaan telah dilaksanakan secara serentak disemua daerah di Negara Brunei Darussalam bermula pada 21 Januari yang lalu dan ianya boleh dilayari di www.e-syariah.gov.bn.

KETUA Pendaftar Mahkamah-Mahkamah Syariah, Awang Haji Hassan bin Haji Metali ketika ditemu bual oleh Pelita Brunei.

Gallery


Back to top
  Other Headlines